MANUSIA-MANUSIA BERGELAR DAN KEISTIMWWAANNYA
LUMRAHNYA setiap manusia yang
lahir diberikan nama-nama yang tertentu oleh ibu bapa mereka untuk mengenali
dan membezakan antara seseorang dengan seseorang dalam keluarga dan juga dalam
masyarakat dunia.
Ia merupakan kad pengenalan asli
diri seseorang untuk dia dan orang lain mengenali diri dan anak siapa dia,
kerana bapaknya juga mempunyai nama-nama yang tertentu.
Nama-nama itu akan menjadi lebih
istimewa kemudian hari jika ianya
digandingkan dengan gelaran-gelaran tertentu pula.
Ada beberapa tujuan
gelaran-gelaran itu disangkutkan kepada nama seseorang yang menjadi amalan yang
disukai oleh sesetengah masyarakat dan negara di dunia. Malaysia dan
penduduknya adalah salah sebuah daripada negara itu.
Gelaran-gelaran itu diberikan
kepada seseorang tokoh yang berjasa kepada negeri atau negara tersebut.
Biasanya sejak kebelakangan ini tokoh-tokoh yang banyak dikurniakan gelaran
ialah ahli-ahli politik, tokoh-tokoh perniagaan. Dan sejak kebelakangan ini
para penghibur juga sering dikurniakan dengan gelaran.
Yang memberikan gelaran-gelaran
itu ialah pihak berkuasa atau kerajaan sesebuah negeri dan juga negara. Kalau di
peringkat negeri ia dikendalikan khusus oleh pihak istana diraja, dan
disampaikan oleh sultan atau raja di negeri itu.
Sementara di peringkat pusat ia
diuruskan oleh kerajaan pusat, tapi di sampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Yang
Dippertuan Agong kepada penerimanya di hari-hari tertentu.
Gelaran di peringkat negeri
biasanya ialah datok, dan gelaran datok itu pula ada mempunyai berbagai-bagai
kategori. Sementara di peringkat pusat pula ada gelaran Tun dan Tan Sri.
Gelaran-gelaran ini adalah
gelaran-gelaran yang istimewa dalam masyarakat, di mana kehadiran penerima
gelaran itu di sesuatu tempat akan dihormati sebagai tetamu istimewa yang
diberi layanan yang khusus.
Pengurniaan gelaran-gelaran itu
boleh dan pernah ditarik balik oleh pengurnianya kerana sebab-sebab tertentu,
seperti penerimanya terlibat dalam kes-kes mahkamah yang berkait dengan jenayah
dan sebagainya. Raja-raja atau sultan-sultan yang mengurniakan pengurniaan itu
boleh menarik balik pengurniaannya kerana sebab-sebab tersebut.
Gelaran Sendaan
Di samping gelaran-gelaran
istimewa yang diminati ramai itu, ada lagi gelaran-gelaran yang tidak disukai
yang dikurniakan secara langsung kepada seseorang yang juga mempunyai
“keistimewan” yang tertentu.
Biasanya gelaran-gelaran ini
dikurniakan oleh masyarakat atau orang ramai tempatan yang mengenali orang itu.
Gelaran-gelaran ini biasanya diberikan kepada seseorang berdasarkan kepada
sifat-sifat fizikal seseorang yang kurang atau tidak menyenangkan,
Gelaran-gelaran ini basanya merupakan
gelaran untuk menghina atau mengejek ataupn untuk suka-suka kepada seseorang.
Ia telah berlaku lama dalam
masyarakat, bermula dari masyarakat desa atau kampung lagi. Gelaran itu
diberikan kadang-kadang ada juga bertujuan yang baik, iaitu sebagai pengenalan
diri seseorang supaya mudah dicami, atau dikenali terutama ketika ada keperluan
untuk mengenalinya seperti dicari orang.
Tapi pengurniaan gelaran untuk mengejek
ini atau untuk dijadikan bahan sendaan atau lawak jenaka ini kian populer di
kalangan masyakat di zaman internet ini. Ia boleh diihat dan di dengar di atas
pentas, menerusi siaran radio atau tv dan juga menerusi akhbar-akhbar dan
majallah-majallah.
Di kampung-kampung biasanya gelaraan
diberikan kepada seseorang dengan bersumberkan kepada sesuatu sifat yang tidak sempurna atau jelik yang
dimiliki oleh seseorang, seperti pendek, tinggi, botak, gemuk, kurus, pincang
dan sebagainya.
Saya senaraikan sedikit gelaraan-gelaran
yang diberikan kepada seseorang berdasarkan kejeliikan yang ada pada mereka.
-Muda Belacan- kerana orang
suka menggaru atau menggaruk gatal, seperti beruk kena belacan
-Daud Besar- kerana
tubuhnya yang besar daripada biasa.
-Minah Birat- kerana
disudut sebelah mulutnya ada tanda birat.
-Mamat Butut- kerana
bentuk kepalanya berbentuk butut atau bunjul sedikit di bahagian tengah dan atas
kepalanya.
-Dolah kawah- kerana
bentuk mulutnya luas atau suaranya deras atau kuat bia bercakap.
-Maryam Ketok – kerana
tubuhnya terallu pendek.
Salamah Kewet- kerana
caranya berjalan tidak betul seperti lumrah, kerana kakinya lembek sebelah, dan
berjalan seperti itik.
-Hasmah Juling- kerana
matanya juling.
-Ali Soyak- kerana
suaranya deras bila bercakap.
-Kalsum Tonggek- krana
buntutnya berbentuk tonggek, atau tinggi ke atas.
Selain daripada sifat-sifat
fizikal itu ada juga gelaran-gelaran yang diberikan berdasarkan kebiasaan atau
kegemaran seseorang. Antaranya:
-Hussin Pelandok- kerana
dia seorang yang pandai menipu daya atau mengecek orang dengan kata-katanya.
Halim Sekarang -kerana dia
seorang yang suka menggunakan perkataan sekarang dalam percakapannya.
Pak Lah Burung- kerana
suka menangkap burung, tak kira siang atau malam.
Demikianlah sekadar contoh yang
terlintas dalam kepala saya, dan saya percaya masih banyak lagi gelaran-gelaran
yang sering dan akan digunakan untuk menggelarkan seseorang.
Gelaran-gelaran ini biasanya
tidak akan ditanggalkan sehingga seseorang itu meninggal dunia dan gelaran
tetap digunakan sebagai pengenalan diri mereka.
Walau bagaimanapun jangan asyik
melemeparkan gelaran-gelaran terhadap orang lain sesuka hati; apakah kita
merasa diri kita sudah cukup sempurna sebagai seorang hamba Allah?
Kalau gelaran yang diberikan
kepada seseorang itu memang disukainya memanglah tidak menjadi masalah, tapi
kalau gelaran itu tidak disukainya atau mencetuskan kemarahannya?
Ia akan bertukar menjadi problem
kerana ia merupakan satu ejekan atau kejian yang menempah dosa.
Marilah kita hidup dalam sebuah
masyarakat yang harmoni, aman damai berpelantarkan saling percaya dan
mempercayai, serta hormat menghormati antara satu sama lain sebagaimana
digariskan oleh Islam.
Allah berfirman, maksudnya:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang
lain, kerana boleh jadi mereka yang
diperolok-olokkan lebih baik dari mereka yang mengolok-olokkan...... Janganlah
kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan
gelar-gelar yang buruk........”.Al-Hujurat: 11.
Nabi SAW juga bersabda maksudnya:
“Mncela
seseorang Muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya adalah kekufuran”.
Justeru itu berhati-hatilah dalam
menggelarkan seseorang, takut-takut menjadi fitnah yang merugikan diri kiita
sendiri. Adakah kita merasa diri kita ini sentiasa lebih baik dan mulia dari
orang lain?
Kg.Kubang Siput,
KB.Kelantan.
11 Ramadhan 1440
16 Mei 2019
No comments:
Post a Comment